Saturday, December 30, 2017

KEBAIKAN MAKAN AYAM KAMPUNG HALAL


MAKLUMAT KEBAIKAN AYAM KAMPUNG

INFO DARI WEBSITE Prof. Madya Dr Ishak Suliaman
Saturday, September 6, 2008
DISEDIAKAN OLEH :
NURNUBIRAH (IEJ060106)



Firman Allah :
Maksudnya : Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah Telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.
Demikianlah petikan ayat suci al-Quran yang menekankan mengenai pengambilan makanan yang halal dan baik dalam kehidupan. Peraturan pemakanan orang Islam adalah peraturan yang lengkap yang merangkumi setiap aspek kehidupan manusia. Sememangnya makanan merupakan satu nikmat yang diberikan oleh Allah di samping nikmat keamanan dan kesejahteraan. Allah berfirman yang bermaksud : “Dan Allah membuat satu perumpamaan, iaitu satu kampung yang asalnya aman dan tenteram, rezkinya datang melimpah ruah dari segenap penjuru, lalu mereka kufur dengan nikmat Allah.. Justeru itu Allah menyeksa mereka dengan pakaian ketakutan dan kelaparan disebabkan perlakuan mereka”.
Ayat di atas menjelaskan tentang dua jenis nikmat iaitu nikmat keamanan dan nikmat perut kenyang. Kedua-duanya dikurniakan oleh Allah apabila manusia beriman dan ditarik apabila mereka kufur. Namun perlu diingat, makanan mengenyangkan yang dikurniakan oleh Allah ada yang haram dan ada yang halal. Baginda Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud: “ Setiap daging yang tumbuh hasil daripada makanan yang haram, maka nerakalah yang lebih layak untuknya”.


Isu halal haram makanan adalah bertepatan dengan ayat al-Quran di bawah. Allah juga memerintahkan manusia untuk mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram menerusi firman-Nya :
Maksudnya : “ Wahai orang-orang beriman, makanlah makanan halal yang kami kurniakan kepada kamu.”
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezki yang Telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu Hanya kepada-Nya saja menyembah. Sesungguhnya Allah Hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan apa yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah; tetapi barangsiapa yang terpaksa memakannya dengan tidak menganiaya dan tidak pula melampaui batas, Maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Berdasarkan ayat di atas, sudah terang lagi bersuluh bahawa Allah telah memerintahkan manusia pada setiap masa dan keadaan supaya memakan hanya makanan yang halal. Halal dan haram itu merupakan ketetapan Tuhan yang mencipta manusia bagi menguji sejauh manakah ketaatan mereka kepada Pencipta. Mereka yang berjaya merentasi ujian tersebut, pasti berjaya di alam selepas kematian. Sementara mereka yang gagal pasti ke neraka menjadi makanan api yang telah sedia marak membara.


Seperti mana isu yang telah diketengahkan pada kali ini berkaitan dengan penyembelihan ayam yang tidak mengikut syariat Islam. Ia beerti bahawa ayam tersebut telah dicucuk, dikenakan kejutan elektrik, di lempar ke dinding, atau sebagainya dengan pelbagai sebab. Sebagai contoh di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala sebelum dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh. Selain itu, mereka mendakwa bahawa tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang tersebut berasa sakit sebelum mati. 

Firman Allah S.W.T :
Maksudnya : Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, binatang disembelih kerana yang lain daripada Allah, mati tercekik, mati dipukul, mati jatuh, mati ditanduk, mati dimakan binatang buas, kecuali sempat kamu sembelih).
Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada sembelihan. Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Sabda Rasulullah bermaksud: (Dan apabila kamu menyembelih maka lakukan dengan baik dan hendaklah kamu menajamkan alat sembelihan supaya sembelihan rasa rehat – tidak terlalu sakit). Riwayat Imam Muslim.


Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik. Dalam aspek ini, Rasulullah pernah mengarahkan kita supaya sentiasa berbelas kasihan kepada haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan adalah tajam. Hal ini demikian kerana haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Menurut Asy-Syairazi antara adab dan cara menyembelih binatang dalam Islam harus memotong kerongkong dan kedua-dua urat leher kerana nafas bergerak di tempat itu. Selain itu, penyembelihan haiwan cara Islam menghendaki pematuhan syarat seperti haiwan hendaklah disembelih dengan objek yang tajam (pisau) – supaya haiwan mati cepat dan serta merta .

Selain itu, hendaklah dikerat salur udara , kerongkong dan saluran darah leher. Darah perlu dialirkan kerana bertujuan mengeluarkan sebahagian besar darah yang akan menjadi bahantara mikroorganisma. Gentian saraf tulang belakang tidak boleh dikerat kerana ini boleh merosakkan gentian saraf ke jantung semasa proses itu dan mengakibatkan jantung terhenti dan menghentikan darah ke salur darah . Demikianlah uniknya penyembelihan cara Islam yang menuntun banyak hikmah dan manfaatnya kepada manusia. Antara hikmah yang dapat diambil ialah darah adalah bahantara kuman dan bakteria, darah-darah yang mengandungi toksin-toksin beracun ini bakal dibuang jika disembelih dengan cara penyembelihan cara Islam.


Selain itu, daging juga akan kekal segar untuk tempoh masa lebih lama serta haiwan tidak merasai kesakitan disembelih. Sebagai ummat Islam yang prihatin dengan isu halal haram ini, maka selayaknya kita sama-sama berganding bahu dalam menangani masalah yang timbul berikutan penjualan ayam yang tidak disembelih. Rata-rata masyarakat kita samaada sedar atau tidak kadang-kadang terbeli ayam cucuk atau tidak sembelih. Maka seharusnya kita sedar bahawa memakan yang binatang tidak disembelih adalah bangkai dan hukumnya haram. JAKIM dan PPIM sama-sama berganding tenaga dalam menyelesaikan isu ini. 



Terkini mereka dapat mengesan penjualan ayam yang tidak disembelih di pasaraya-pasaraya besar di Malaysia, maka dengan segera tindakan diambil. Sebenarnya pelbagai pihak perlu memainkan peranan penting dalam mengatasi isu ini daripada terus merebak kerana tindakan segelintir peniaga yang mahu mengaut keuntungan semata-mata.
Dewasa kini, kita dapat melihat banyak penjualan ayam-ayam organik dan ayam-ayam kampung yang telah dipelihara dan disembelih dengan cara yang terbaik mengikut kaedah Islam. Antara alternatif lain kepada ummat Islam untuk mendapatkan ayam yang halal ialah melalui “ayam organik” dan ”ayam kampung organik”. Ayam kampung adalah panggilan bagi ayam yang dipelihara secara lepas. Di negara Barat ia dikenali sebagai “free range chicken” atau “organic chicken”. Ayam kampung jenis ini bergerak bebas dan berpeluang bergerak aktif mencari makanan tambahan dalam bentuk semula jadi terdiri daripada haiwan kecil seperti belalang, ulat dan cacing serta bahan daripada tumbuhan seperti bijirin, buah dan dedaun termasuk dari spesies tumbuhan herba. Manakala kebaikan ayam organik dan ayam kampung organik seperti ayam diberi makanan yang bersih dan berkhasiat tinggi yang menawarkan faedah perubatan bagi pengguna, pergerakan otot yang aktif serta pengambilan makanan berunsur organik menghasilkan daging yang lazat dan berkhasiat tinggi dan ciri daging yang enak dan berprotin tinggi tanpa kolesterol berbanding ayam daging komersial yang hidup dengan pelbagai antibiotik, beta aganist, growth hormone dan bahan kimia yang diharamkan oleh kerajaan.


Sedarlah, apa yang kita makan, minum dan guna pakai setiap hari sepanjang hidup akan mencorakkan amalan dalam budaya, moral, sosial dan akhlak hidup serta tahap iman seseorang. Jika makan dan minum yang menjadi darah daging dalam badan kita halal dan toyyiban (baik, bersih dan selamat), fitrahnya akan baik dan tinggilah akhlak, moral dan sosial hidup sehariannya serta akan bersinarlah cahaya keimanan. Namun, apabila apa yang masuk dan diisi ke dalam perut itu tidak bersih dan tidak selamat kerana menyalahi syarak timbullah pelbagai masalah akhlak, moral dan budaya hidup negatif sebagaimana yang banyak melanda ummah sekarang. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : Hai sekelian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi mu.
posted by Prof. Madya Dr Ishak Suliaman @ 11:48 AM


DINARA AGRO FARM PEMBEKAL AYAM KAMPUNG HALAL DAN BERSIH 
0123327252

No comments:

Post a Comment